Namun, kini sudah ada inovasi baharu bagi menggantikan penggunaan buluh dalam proses pembuatannya.
Alternatif kreatif ini adalah merupakan cetusan orang ramai di atas kesukaran mereka untuk mendapatkan bekalan buluh semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Wartawan AWANI Sarawak, Nuzuluddin Abdul Razak mengambil kesempatan ini untuk mencuba sendiri kaedah penyediakan lemang menggunakan cawan itu.
Bagi Nuzuluddin, proses pembuatan lemang cawan kertas itu sangat mudah dan mempunyai rasa yang tidak jauh bezanya daripada lemang tradisional.
“Kebiasaannya lemang akan dimasak menggunakan buluh dan daun pisang. Namun semasa tempoh sukar ini, masyarakat kita tampil kreatif dalam menghasilkan makanan tradisional ini,” katanya.
Tambah Nuzuluddin, bahan-bahan untuk menyediakan lemang cawan ini mudah didapati iaitu pengukus, cawan kertas bersaiz sederhana, daun pisang, beras pulut dan santan.
Jelasnya lagi, daun pisang digunakan sebagai pembalut bagi mengekalkan teksturnya selain dikukus bersama santan dan sedikit garam,” kongsinya bersama penonton AWANI Sarawak.
Dalam masa sama, beliau berkata tempoh yang diambil untuk mengukus lemang cawan ini hanyalah di antara 45 minit sehingga sejam sahaja.
Setelah lemang itu siap dimasak, ia boleh disajikan bersama kuah sate atau menu sampingan lain seperti rendang daging, kari ayam, serunding dan lain-lain lagi.
Namun, cara penyediaannya terpulang dengan citarasa dan kreativiti masing-masing.
Sementara itu, bagi mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, Nur Suraya Razak, lemang cawan yang dihasilkan bukan hanya mudah malah dapat memenuhi keinginannya walaupun pergerakan keluar rumah terbatas ketika ini.
“Bukan selalu dapat menyediakan lemang dengan cara ini. Malah, ia membolehkan saya menghasilkannya dalam kuantiti yang diingini,” beritahu Nur Suraya.
Bagi orang ramai yang ingin mencubanya di rumah, resepi lemang cawan ini banyak terdapat di media sosial dan ia dapat dijadikan juadah berbuka untuk dikongsi bersama keluarga.