“TOLONGLAH… saya perlu pulang ke Semporna (Sabah) kerana anak masih kecil, tinggal pula dengan ibu yang sakit,” rintih suri rumah, Jonica Dullah, 24.
Jonica terkandas di Masai, Johor, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu
Menurutnya, dia ke Johor bersama rakan atas urusan permohonan taraf kewarganegaraan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 15 Mac lalu, dan sepatutnya balik ke Sabah pada 18 Mac, tetapi gagal akibat kekangan PKP.
Katanya dia terlalu merindui anak tunggalnya yang berusia tiga tahun selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.
“Di sini (Masai, Johor) saya menumpang di rumah rakan yang sudah berkeluarga. Saya juga malu mahu terus menyusahkan mereka sekiranya tidak dapat pulang dalam tempoh yang panjang.
“Apa yang merisaukan, anak kecil saya yang dijaga ibu sakit, suami saya pula di pulau berdekatan (sekitar Semporna) bagi mencari rezeki keluarga.
“Setiap kali saya membuat panggilan video pasti anak saya menangis mahukan saya pulang,” katanya dalam nada sebak ketika dihubungi.
Menurut Jonica, dia sudah tiga kali ke balai polis berdekatan merayu dan menangis agar dibenarkan pulang ke Sabah, tetapi masih tidak dibenarkan berbuat demikian.
Katanya, tiket penerbangan juga sudah tiga kali ditunda dan kali ketiga penerbangan yang sepatutnya berlepas kelmarin, juga ditunda.
“Mak saya gaut, mahu jaga anak kecil pastinya sukar. Mak saya juga sering lelah, mungkin bimbang dengan keadaan anak saya yang selaluy menangis mencari saya.
“Ini kali pertama saya ke Johor. Urusan saya di JPN tidak mempunyai dokumen lengkap dan terpaksa juga ditunda sehingga April tetapi tidak dapat diterukan kerana PKP.
“Saya akan cuba mengisi aplikasi GerakMalaysia atau ke balai polis berhampiran bermula 25 April ini kerana mahu segera pulang ke Sabah,” katanya yang mendedahkan ramai lagi insan yang senasib dengannya di situ.
Malah, Jonica berkata, rakannya yang menemaninya atas urusan sama turut menerima nasib sama.
Katanya, sepupunya, Wilma Ismullah, 21, turut menerima nasib sama terkandas di Johor selepas cuba mencari kerja di sini.
“Sepupu saya juga sama, ada anak empat. Datang ke sini mahu cari kerja kerana suaminya menghilangkan diri ketika dia melahirkan anak bongsu,” katanya.