SUDAH masuk hari keenam dia ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil, Tumpat, menziarahi pusara arwah isteri, Siti Nur Nasuha Shafie, 23, yang meninggal dunia selepas melahirkan bayi kembar perempuan mereka 31 Mac lalu.
Rutin itu dilakukan oleh Syazwan Najmi Zulkarni, 23, yang jelas sangat sukar menyembunyikan rasa rindu dengan meluangkan masa kira-kira setengah jam membaca surah Yasin, berdoa dan ‘berbicara’ di sisi pusara.
Syazwan mengakui terlalu payah untuknya melupakan arwah isterinya walaupun usia perkahwinan mereka baru memasuki 10 bulan tapi banyak kenangan manis terakam dalam fikirannya.
“Sukar untuk saya lupakan arwah kerana di setiap sudut dalam rumah, bayangnya tetap muncul dan setiap masa dia ada bersama saya ketika hayatnya.
“Cukup terasa apabila masuk ke dalam bilik, nampak pakaian dan segala barangannya, air mata saya mudah sangat jatuh malah setiap butir bicaranya masih terngiang di telinga kerana arwah seorang peramah dan suka berbual” katanya ketika ditemui hari ini.
Syazwan berkata, koleksi foto akad nikah serta persandingan mereka baru dua minggu diperoleh daripada jurugambar malah arwah sempat berpesan agar tidak dilekatkan lagi dalam album kerana ingin melakukannya sendiri sebaik selepas bersalin nanti.
Katanya, arwah isteri yang baik malah hampir setiap hari akan memohon maaf daripadanya dan bertanyakan sama ada bahagia atau tidak hidup bersama.
“Walaupun dia sudah tahu akan jawapannya, tapi dia tetap ingin mendengar sendiri dari mulut bahawa saya sangat bahagia dengannya.
“Begitu juga dengan kemaafan yang dipohon kerana dia bimbang jika ada sebarang kata-kata atau perbuatannya yang menyakiti hati saya, namun sepanjang kami bersama, dia seorang isteri yang sangat disenangi,” katanya.
Terdahulu kisah pilu menimpa ibu muda itu yang dua minggu bertarung nyawa sebelum meninggal dunia selepas bersalin akibat komplikasi dalaman dipaparkan di akhbar.
Arwah melahirkan bayi kembar dinamakan Medina Safiya dan Medina Sofiya tidak sempat menatap cahaya mata sulungnya kerana berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Syazwan berkata, sehingga kini dia juga masih belum dapat melihat kedua bayinya yang berusia 18 hari di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana perlukan pemantauan berterusan.
“Saya dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa kakak (Medina Safiya) masih belum cukup timbangan dan tidak dapat menyesuaikan diri lagi minum susu botol berbanding adik.
“Saya harap dalam masa terdekat kedua bayi kembar kami semakin sihat dan dibenarkan pulang, sekurang-kurangnya kehadiran mereka dapat mengubat kerinduan saya kepada arwah isteri,” katanya.
Berita berkaitan
• Ibu meninggal tanpa sempat tatap wajah bayi kembar