PERBINCANGAN antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) diadakan petang ini untuk mengesyorkan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilanjutkan atau sebaliknya.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seterusnya pagi esok beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberikan taklimat berhubung perkara itu.
Katanya, selepas taklimat itu, Perdana Menteri dijangka mengumumkan keputusan kepada rakyat mengenai status PKP.
“Selepas taklimat esok, Perdana Menteri akan membuat pengumuman apa yang perlu dilakukan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Pada 4 April lalu, Dr Noor Hisham dipetik sebagai berkata, keputusan syor daripada KKM sama ada PKP perlu dilanjutkan atau sebaliknya akan dibuat pada 10 April ini.
“KKM akan menggunakan data kes yang direkodkan dalam tempoh itu sebagai garis panduan untuk tindakan selanjutnya.
“Kita harap menjelang 10 April, data (kes) sudah ada untuk kita buat keputusan sama ada melanjutkan PKP atau sebaliknya. Kita memerlukan data untuk membuat keputusan.
“Saya boleh membuat jangkaan tetapi realitinya kita perlu melihat kepada fakta dan sains,” katanya pada sidang akhbar harian sebelum ini.
Sebelum ini PKP fasa pertama dilaksanakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac lalu, disusuli fasa kedua bermula 1 April hingga 14 April ini.