JAKARTA membuat keputusan melaksanakan penjarakan sosial skala besar bagi membendung penyebaran pandemik Covid-19.
Ia termasuk memperkenalkan had untuk aktiviti awam dan pelaksanaan pegawai pemantau.
Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata, larangan berkenaan yang dimulakan Jumaat ini berlangsung selama dua minggu sebagai permulaan dan mungkin dilanjutkan jika perlu.
South China Morning Post melaporkan, dalam tempoh tiga minggu lalu, pihak berkuasa di Jakarta menyarankan orang awam duduk di rumah dan menjaga jarak sosial apabila menggunakan kemudahan awam.
Bagaimanapun, Jakarta enggan memanggil sekatan itu sebagai perintah berkurung sebaliknya hanya menggelarnya penjarakan sosial skala besar.
“Secara prinsipal, kami melaksanakan sekatan bermula Jumaat ini. Tahap kepatuhan orang awam menentukan keupayaan kita membendung virus daripada terus merebak,” katanya.
Di bawah penjarakan sosial ini, pekerja perlu menjalankan tugas dari rumah kecuali perkhidmatan asas seperti pasar raya, hospital, bank dan stesen minyak.
Pengangkutan awam hanya dibenarkan beroperasi separuh kapasiti dari jam 6 pagi hingga 6 petang dan perkhidmatan teksi motosikal dibenarkan membawa barang sahaja bukan penumpang.
Manakala, perkhidmatan teksi dan kenderaan persendirian dibenarkan membawa penumpang namun perlu mengambil langkah keselamatan seperti jumlah penumpang sedikit untuk menjaga jarak sosial.
Indonesia berdepan kesukaran membendung wabak dan sehingga kini 2,738 individu termasuk 1,369 di Jakarta didapati positif Covid-19.
Jumlah kematian juga mencecah 221 dengan 106 daripadanya berlaku di Jakarta.
Satu kajian dilakukan agensi di Jakarta mendapati pandemik itu mungkin mencapai tahap kemuncak dalam tempoh tiga bulan dengan keseluruhan 106,000 kes menjelang Julai.