“SAYA hampir tiada pendapatan ‘busking’ sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini kerana konsep ‘busking’ ibarat kais pagi makan pagi,” luah pemuzik jalanan atau busker, Mohd Zukhri Mustapha, 29 kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana sebelum PKP sudah bersedia untuk berdepan keadaan sukar seperti sekarang.
“Saya ada membuat sedikit simpanan yang cukup untuk membeli keperluan asas,” katanya yang turut membuat persembahan secara online dengan menerima sumbangan antara RM10 ke RM15 sekali persembahan.
Mohd Zukri berkata, dia menggunakan medium Facebook (FB) untuk membuat persembahan, namun tidak dapat melakukannya secara kerap berikutan kekurangan peralatan menyebabkan kualiti audio dan visual tidak begitu bagus.
Katanya, sebelum PKP dia membuka studio rakaman dan jamming, hal itu yang menjadi beban baginya kerana tetap perlu membayar bil utiliti serta sewa kedai.
“Namun, nasib baik juga kami antara komuniti busker sempat menyiapkan satu album kompilasi bersama sahabat busker lain dan menjualnya bagi menampung perbelanjaan kami,” katanya yang sering membuat persembahan di Klang.
Bagi Aida Daud, 42, dia memilih untuk berehat membuat persembahan sepanjang Ramadan dan mencuba nasib dengan berniaga.
“Saya buat keputusan untuk berniaga makanan dan memang ramai kawan busker yang terjejas pendapatan sejak PKP ini.
“Namun, saya turut membantu rakan lain mempromosikan Album Kompilasi Penghibur Jalanan yang menggabungkan 14 kumpulan pemuzik jalanan di Malaysia.
“Album ini dijual di FB dan Instagram Melodi Sahabat Jalanan pada harga RM40,” katanya yang bercadangkan giat mempromosikan album ini selepas tamat PKP,” katanya.
Sementara itu, bagi Muhammad Aizad Azman, 29, atau lebih dikenali sebagai Bob, dia turut mengakui kesan PKP menyebabkan pendapatan yang diterima berkurangan hampir separuh daripada biasa.
“Kami berbincang dengan busker lain untuk tampil dengan idea menghiburkan orang ramai secara online.
“Sebelum puasa, kita buat hari-hari tetapi sepanjang Ramadan ini persembahan dibuat petang dan malam selepas solat Terawih.
“Bukan kami saja yang berdepan dengan keadaan sukar sekarang, namun kami tetap ikhtiar dengan harapan semoga selepas ini kami dapat membuat persembahan di jalanan semula,” katanya selalu ditemui busking di Sogo dan Bukit Bintang.