“TOLONG jaga emak dan abah ya,”
Itu pesanan terakhir seorang jururawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, yang meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19, tengah malam tadi.
Nadila Rahmat, 32, jururawat di wad ortopedik HPSF meninggal dunia pada 12.36 tengah malam selepas hampir 17 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) ,Kluang.
Adiknya, Nabiha Rahmat, 26, berkata, pesanan terakhir kakak sulungnya itu disampaikan menerusi telefon sehari selepas dimasukkan ke ICU pada 7 April lalu.
Katanya, ketika itu, Allahyarham kakaknya menelefon ibu, Rodiah Mohd Don, 57, bagi memaklumkan keadaannya kerana perlu dirawat di ICU.
Namun, berikutan mereka sekeluarga berada di dalam kenderaan kerana baru selesai melakukan saringan Covid-19 suara kakaknya itu tidak didengari ibunya.
“Ibu menyerahkan semula telefon kepada saya sebelum kakak berpesan supaya sentiasa jaga emak dan ayah. Kakak memaklumkan dia akan ditidurkan di ICU bagi memasukkan ubat.
“Ketika itu sudah terdetik rasa sayu namun tidak sampai hati untuk memaklumkan kepada emak dan abah kerana tidak mahu mereka susah hati.
“Itulah kali terakhir kakak bercakap dengan ibu dan saya sebelum menghembuskan nafas terakhir tengah malam tadi, ” katanya sebak ketika dihubungi.
Jenazah Nadila dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Serom 1, Sungai Mati, Tangkak, Muar, tengah hari tadi.
Mengulas lanjut, Nabiha berkata, kakaknya sudah 10 tahun menjadi jururawat dan bertugas di HPSF Muar.
Katanya, kakak seorang yang ceria namun jarang berkongsi masalahnya dengan keluarga berikutan tidak mahu mereka bimbang.
Menurutnya, kakaknya sudah mula tidak sihat awal April lalu apabila mengalami batuk dan tidak berselera makan, namun mereka tidak mengesyaki apa-apa.
“Kakak hanya maklumkan kepada keluarga dia perlu menjalani kuarantin kerana menjadi suspek jangkitan Covid-19 sebelum ke pusat kuarantin di Pagoh pagi pagi 5 April lalu. Itulah kali terakhir kami sekeluarga bertemu kakak.
“Dia meminta emak membantu mencari beg pakaian namun menegah ibu datang berhampirannya ketika mahu menolongnya mengemas pakaian.
“Ketika itu emak sudah berasa tidak sedap hati namun seperti kakak, emak hanya memendam saja perasaan sedihnya itu sehinggalah kakak perlu dimasukkan ke ICU 7 April lalu,” katanya.
Beliau berkata, keluarganya terutama abah, Rahmat Johan, 65, dan emak sering melakukan solat hajat dan bacaan Yassin bagi mendoakan kakak sembuh seperti biasa.
“Namun malam tadi, apa ditakuti berlaku, apabila doktor menghubungi keluarga pada 10.30 malam menyatakan keadaan kakak semakin tidak stabil.
“Panggilan kedua dari hospital memaklumkan kakak semakin kritikal dan meminta keluarga bersedia apa jua kemungkinan, manakala panggilan ketiga memaklumkan kakak sudah meninggal dunia.
“Keluarga kami reda dengan pemergian kakak namun kami kehilangan seorang kakak yang suka berbakti kepada keluarga dan masyarakat dan tidak lagi dapat menyaksikan keletah kakak menyediakan hidangan berbuka puasa seperti selalu, ” katanya.