BERSEDIA tanggung kerugian lebih RM200 juta. Itu ‘harga’ perlu dibayar pihak yang terbabit dalam industri bola sepak negara termasuk persatuan bola sepak, penaja dan pemain industri jika saingan Liga Malaysia (Liga -M) serta aktiviti sukan nombor satu itu dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19.
Malah, peminat sukan nombor satu itu bakal menyaksikan pemberhentian pekerja secara beramai-ramai dengan pemain dan pegawai pasukan bakal menjadi individu terawal dikenakan tindakan demikian.
Jika pembatalan tetap diteruskan tanpa pertimbangan sewajarnya, sudah pasti industri bola sepak negara boleh diletakkan dalam zon ‘kehancuran’ seterusnya perlu diperbaiki hingga membabitkan kos lebih besar selepas ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, menekankan seandainya liga dibatalkan, ia akan turut menjejaskan industri hiliran yang dicetus daripada sukan terbabit seperti sektor pelancongan tempatan, penyediaan perkhidmatan pengangkutan dan makanan serta minuman.
Sehubungan itu, Sadek menyarankan supaya satu dana khas diwujudkan untuk menampung kerugian ini serta menyediakan peruntukan bagi menggerakkan bola sepak dari sudut normal baharu.
“Pasukan yang mengurus pasukan yang bersaing dalam Liga Super dengan bajet RM20 juta berdepan kemungkinan kehilangan 40 hingga 60 peratus punca pendapatan akibat liga yang dibatalkan.
“Pada masa sama, penaja ada hak untuk meminta semula tajaan mereka disebabkan mereka tidak mendapat pulangan atas pelaburan yang dijanjikan. Persoalan juga timbul, apakah pemain akan menerima gaji seandainya mereka tidak bermain? Atau mereka diberhentikan?” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diminta mengambil pendekatan menarik rambut dalam tepung dengan menangguhkan keputusan sama ada untuk membatalkan atau meneruskan saingan Liga M sehingga Jun dengan mengambil kira perangkaan jumlah positif terkini Covid-19 serta senario kemungkinan dan impak kerugian kepada industri bola sepak tempatan.
“Selaku kementerian yang bakal membuat kata putus hala tuju sukan prestasi tinggi dalam keadaan semasa, KBS digesa berhati-hati membuat keputusan, ibarat menarik rambut tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
“Liga lebih baik diteruskan daripada dibatalkan. FAM boleh menyusun semula format liga dan mengetepikan saingan Piala Malaysia dan Piala Liga jika perlu, tetapi dengan syarat ia diadakan secara tertutup dengan tatacara operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.