Kuala Lumpur: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru saja berakhir namun Malaysia kini berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19, yang puncanya didakwa akibat kecuaian dan keselesaan sepanjang tempoh berkempen.
Mengakui langkah pengawalan sebelum ini tidak memadai untuk membendung lonjakan kes berikutan pilihan raya negeri Sabah, kerajaan kini mengeluarkan perintah larangan pergerakan yang berbeza-beza untuk Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.
Oleh kerana Malaysia dijangka berhadapan dengan beberapa pilihan raya tidak lama lagi – iaitu pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada bulan Disember dan pilihan raya negeri Sarawak pada Jun tahun hadapan, dan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam setahun ini, pakar kesihatan awam melahirkan rasa kebimbangan kemungkinan berulangnya keadaan seperti di Sabah selagi wabak itu masih aktif dan tidak ada lagi vaksin yang berkesan.
Atas alasan itulah mereka menggesa diperkenalkan kaedah undi melalui pos atau pengundian tanpa kehadiran.
“Pengundian melalui pos boleh dilaksanakan. Orang ramai boleh mengemukakan undi pos dan dikira,” kata Prof Dr Marzuki Isahak, pakar di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Universiti Malaya.
Beliau berkata, Malaysia perlu mendorong sebarang sistem pengundian yang akan menghalang orang ramai daripada berkumpul di satu tempat untuk mengundi.
Dr Mas Ayu Said, ahli epidemiologi di Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan di Universiti Malaya, turut bersetuju dalam perkara ini.
“Kita benar-benar harus bersiap sedia (untuk pengundian). Kita tidak mahu berulangnya apa yang kita lalui di Sabah. Kita perlu memikirkan kaedah lain untuk melaksanakan pilihan raya,” katanya.
Sehingga 18 Oktober lalu, 443 pengunjung Sabah yang kebanyakannya terbabit dengan pilihan raya, dikesan positif Covid-19 dan menghasilkan sekurang-kurangnya 24 kluster di bahagian lain di Malaysia. Dari angka satu digit pada bulan Ogos, Malaysia mencatat kes harian tertinggi iaitu 871 pada 18 Oktober.
Oleh itu, adakah pilihan raya bakal menjadi satu lagi perkara yang harus disesuaikan oleh rakyat Malaysia untuk melakukan penjarakkan susulan wabak itu?
Memang mudah untuk bercakap, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Walaupun Malaysia memang mempunyai sistem undi melalui pos, tetapi untuk melaksanakannya kepada semua orang kemungkinan sesuatu yang mustahil buat masa sekarang.
Kini, beberapa kumpulan dibenarkan untuk mengundi melalui pos.
Anggota SPR, Zoe Randhawa agak resah ketika dikemukakan idea membuka undi pos kepada berjuta-juta orang ramai pada PRU15 di samping memastikan semuanya dilakukan dengan betul dan telus dalam masa singkat.
“Akan ada kecenderungan untuk tidak mempercayai pilihan raya kami, (sama ada) betul atau salah. Oleh itu, kita tidak boleh memperkenalkannya dan kemudian orang ramai tidak mempercayai sistem ini,” katanya.