“SAYA pernah diejek gigi salah ‘parking’ disebabkan memiliki susunan gigi tidak cantik dan berlapis,” kata Farah Natasya Abd Rahman, 23.
Farah yang pernah menjadi mangsa buli siber di laman media sosial menganggap ejekan diterimanya sebagai dorongan untuk menjadikan diri lebih baik.
“Dulu, saya pernah memuat naik gambar ‘selfie’ dan mendapat komen negatif yang saya tidak boleh lupa sehingga sekarang.
“Saya sedih ada warganet yang sanggup tulis di ruangan komen, tidak perlulah muat naik gambar senyum kalau gigi macam itu,” katanya.
Menurut Farah, keinginannya mengubah penampilan selepas mendapat nasihat dari doktor yang hadir membuat pemeriksaan gigi di sekolah.
“Doktor menyarankan saya menjalani pemeriksaan khusus kerana ada sesetengah kedudukan gigi tidak boleh diselesaikan dengan rawatan ortodontik.
“Setelah pemeriksaan dibuat, doktor benarkan saya memakai pendakap gigi dan ibu bapalah yang beri sokongan dengan membayar semua kos rawatan gigi di klinik yang hampir mencecah RM6,000.
“Saya memilih klinik yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan bukannya daripada tawaran media sosial atau individu bukan doktor gigi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Dia yang memakai pendakap gigi selama dua tahun enam bulan itu berkata, rasa ngilu dan sakit sudah kebal dalam dirinya.
“Orang yang mempunyai pengalaman memakai gigi ‘besi’ sahaja yang tahu rasa sakitnya macam mana.
“Kedudukan gigi dulu menyukarkan saya menggosok gigi dengan bersih sehingga menyebabkan plak terbentuk.
“Ia menjadi satu keperluan untuk saya membuat rawatan ini dan bukannya kehendak untuk kelihatan cantik semata-mata,” katanya.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) itu mengakui dia gembira dengan penampilannya sekarang dan berasa lebih yakin terutamanya apabila bercakap.
“Saya kongsikan gambar sebelum dan selepas menjalani rawatan ortodontik atau pendakap gigi di akaun Twitter dan menerima lebih 8,000 ulang kicau serta 21,000 tanda suka.
“Melalui perkongsian itu, ramai warganet berkongsi masalah sama diejek kerana memiliki gigi jongang, jarang dan berlapis.
“Namun, ada juga komen negatif diterima tetapi pendirian saya, saya jauh lebih kenal diri sendiri berbanding orang lain. Bagi saya, jangan kerana mulut orang lain kita lupa kelebihan yang ada,” katanya.
Sementara itu, rakan baik Farah, Aini Syuhada, 23, berkata, dia sudah mengenalinya sejak dari sekolah rendah.
“Ada waktu Farah pernah jumpa saya dan menangis sebab dia mula rasa seakan kata orang lain itu betul.
“Saya dan rakan yang lain selalu bagi kata-kata semangat dan beri sokongan mental untuk dia walaupun kami sekarang duduk berjauhan.
“Bagi saya semua orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing dan setiap orang mempunyai kecantikan berbeza termasuk dia.” katanya.