“DIA (Abbad Nawfal Mohd Asraf) memang selalu muncul secara tiba-tiba ketika kami solat, cuma saya rakam gelagatnya pada malam itu kerana dia bawa patung dinosaurnya bersama,” kata Nurdiyana Mohd Nazaruddin.
Nurdiyana, 24, adalah ibu saudara kepada Abbad Nawfal, 3, yang tular di media sosial susulan video memaparkannya menyertai solat sunat terawih secara berjemaah bersama patung dinosaur.
Menurut Nurdiyana, Abbad Nawfal adalah anak tunggal kepada kakaknya dan mereka tinggal sebumbung di kediaman ibu bapa di Taman Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.
Menurutnya, solat berjemaah adalah amalan biasa dilakukan di ruang tamu rumah mereka pada waktu Maghrib dan ia diteruskan dengan solat sunat terawih pada malam pertama Ramadan tahun ini, Khamis lalu.
Katanya, semua ahli keluarga sedia maklum dengan kemungkinan kanak-kanak itu akan turut serta dalam solat berjemaah terbabit.
“Nawfal biasa melihat kami solat berjemaah dan ada kalanya seperti kebanyakan kanak-kanak lain, dia akan mengganggu dengan memeluk kaki sesiapa dalam jemaah itu dan sebagainya.
“Kebetulan pada hari itu saya tidak solat, jadi saya nampak gelagat Nawfal ketika dia mula berdiri di sebelah abang saya untuk ikut solat bersama.
“Ketika itu, ayah saya imamkan solat sunat terawih terbabit secara jemaah bersama ibu, abang, adik dan kakak yang juga ibu Nawfal.
“Disebabkan itu, saya ambil sejadah kecil untuknya. Tidak sangka pula Nawfal ambil dinosaur dan letak di sebelahnya kerana sebelum ini, dia cuma akan duduk di sebelah sesiapa tanpa bawa apa-apa permainan dan ikut pergerakan solat cara dia,” katanya.
Nurdiyana berkata, dia dan ahli keluarganya tidak pernah memarahi atau menghalang jika Abbad Nawfal ingin turut serta dalam solat berjemaah bersama mereka.
Ini kerana, katanya, Nawfal bukanlah budak yang mengganggu secara melampau sehingga solat tidak boleh diteruskan, malah anak saudaranya itu semakin memahami situasi terbabit setiap kali menjelang Maghrib.
“Gangguan Nawfal paling teruk sewaktu kami solat pun sekadar peluk kaki, ikut ‘mood’ dialah jadi kami tegur selepas selesai solat, itu pun sudah lama dia tak buat. Nawfal juga tidak buat bising.
“Apabila saya kongsikan video itu di laman Twitter saya, rata-rata pelayar menyarankan supaya saya biarkan saja dia ikut solat kerana lama-kelamaan Nawfal akan terikut untuk solat seperti orang lain setiap kali waktu solat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ditanya mengenai patung dinosaur bersama Abbad Nawfal, Nurdiyana berkata, sejak kecil kanak-kanak itu sudah menunjukkan minat terhadap haiwan termasuk dinosaur.
Katanya, kebelakangan ini minatnya lebih tertumpu kepada dinosaur berbanding lain.
Video yang dimuat naik Nurdiyana di laman Twitternya itu sehingga kini memperoleh 75,000 tanda suka dan diulang kicau lebih 49,000 kali oleh pelayar yang rata-rata terhibur serta kagum dengan gelagat Abbad Nawfal mengikut solat bersama patung dinosaurnya.