TEMPOH ‘berkurung’ sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin menjadi tempoh yang penuh tekanan bagi segelintir orang.
Namun, jika dilihat dari sudut positif, tentunya PKP yang kini memasuki fasa ketiga mungkin boleh digunakan sebaik mungkin untuk bermuhasabah diri.
Bagi penyanyi, Aiman Tino, tempoh PKP ini digunakan sebaik mungkin untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.
“Sepanjang lebih kurang tiga minggu berada di rumah bersama keluarga, saya banyak gunakan masa terluang ini untuk betulkan ibadah saya. Apabila dilihat semula, ini masa paling sesuai untuk bermuhasabah diri,” katanya.
Bercerita mengenai aktivitinya di rumah, Aiman mencuba sebaik mungkin untuk menghabiskan bacaan al-Quran.
“Apabila ada dengan keluarga, jadi banyak peluang untuk saya dan semua ahli keluarga melakukan ibadah antaranya saya cuba untuk khatam al-Quran dalam tempoh ini.
“Sekarang, apabila banyak masa terluang, saya cuba untuk mengaji semula. Kita tak tahu berapa lama lagi kita akan hidup, jadi cuba sebaik mungkin untuk perbaiki diri kita kepada orang yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
Katanya, dia dan keluarga selalunya bersama-sama mengaji al-Quran selepas solat Maghrib.
“Jadi, sementara menantikan waktu Isyak, saya bersama adik-beradik yang berada di rumah dan ayah akan mengaji,” katanya.
Berkongsi mengenai situasi di dalam rumahnya yang dihuni 12 ahli keluarga, Aiman menggambarkannya umpama musim perayaan.
“Kalau tengok, dalam rumah saya sebelum ini ada 11 ahli keluarga dan sekarang dah jadi 12 orang selepas ibu melahirkan anak beberapa hari lalu. Itu belum termasuk kakak dan abang saya yang sudah berkahwin kerana mereka menetap di rumah sendiri.
“Di rumah kami di Kuala Kubu Bharu ini, suasananya seperti Aidilfitri kerana ramai dan sangat riuh. Cuma sekarang, tak terlalu bising sebab sudah ada bayi dan bimbang mengganggu waktu tidurnya,” katanya.
Bercerita lagi mengenai aktivitinya di rumah, Aiman yang cukup dikenali dengan minat memasaknya juga menghabiskan banyak waktu di dapur.
“Kalau kerja memasak, saya antara yang kerap masuk dapur. Tapi, ada syif juga yang kami tetapkan contohnya, ayah akan masak untuk juadah tengah hari dan saya akan masak untuk makan malam,” katanya.
Tempoh PKP ini sedikit sebanyak membuatkan dia terpaksa menunda beberapa kerja seni dan perniagaan.
“Tak dinafikan, banyak kerja yang tertunda antaranya rakaman video muzik lagu baru saya iaitu Dendam Simpati. Kami hanya sempat menjalani penggambaran selama sehari sebelum PKP dimulakan keesokannya.
“Kemungkinan besar kami akan menjalani penggambaran semula secara keseluruhan selepas PKP tamat memandangkan ada beberapa babak yang kesinambungannya perlu dijaga,” katanya.
Selain itu, Aiman juga terpaksa menunda siri jelajahnya ke Sabah yang sepatutnya berlangsung pada penghujung Mac lalu.
“Kerja paling besar yang terpaksa dibatalkan adalah siri jelajah ke Sabah selama tiga hari. Sepatutnya, ia berlangsung pada 27 hingga 29 Mac lalu. Tiket penerbangan pun semuanya sudah ditempah. Namun, disebabkan situasi yang berlaku sekarang, semuanya dibatalkan. Bukan rezeki saya nampaknya,” katanya.
Mengakhiri sesi temu bual, Aiman menyeru remaja supaya menggunakan masa sebaik mungkin dengan perkara berfaedah.
“Ambil peluang ini untuk bermuhasabah diri dan kembali ke jalan yang benar. Tak ada alasan untuk tidak. Saya menyeru remaja lain untuk bersama-sama membetulkan amal ibadah kita. Selain itu, ini masanya untuk kita keluarkan kreativiti kita dan melakukan perkara yang mungkin dapat menonjolkan bakat serta kemampuan kita. Lebih penting, jangan buang masa,” katanya.