“HANYA ingat ia adalah hari kematian saya dan saya tahu…amal saya tidak cukup untuk dibawa menghadap Ilahi. Ketika itu, air mata berlinangan dan hanya ingat kepada Allah SWT menerusi zikir.
“Saya mengalami sesak nafas yang kritikal, saya sentiasa berzikir di dalam hati dan berdoa kepada Allah SWT untuk memudahkan setiap urusan yang dilalui. Ia umpama nikmat bernafas itu ditarik…hanya Allah SWT saja yang tahu sakitnya.”
Demikian detik dilalui Mohammad Faizal Awang Kechil, 25, selepas disahkan positif Covid-19 pada 23 Mac lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan.
Mengimbau pengalamannya, Mohammad Faizal berkata, dia ada berjumpa dengan seorang rakannya pada 16 Mac dan pada hujung minggu berkenaan, dia mula demam serta mengalami batuk yang teruk.
“Ketika itu, kawan saya tidak mengetahui bahawa ibu dan bapanya turut positif Covid-19. Saya berjumpa dengan dia, bersalam dengan semua sebelum tahu ada ahli keluarganya positif tatkala memuat status terbaru di laman sosial.
“Rakan berkenaan mengirim mesej kepada saya bahawa ibu dan ayahnya positif Covid-19. Hasil ujian di HSB, saya didapati positif Covid-19.
“Di hospital, saya mengalami simptom sesak nafas yang teruk dan memerlukan alat bantu pernafasan. Ketika itu, saya berkata-kata dalam hati…ini adalah hari kematian saya dan saya hanya mampu berdoa,” katanya dihubungi.
Menurutnya, memandangkan belum ada ubat atau vaksin bagi virus itu, pesakit yang positif diberi air garam untuk di minum serta cecair untuk mencuci mulut.
“Apa yang berlaku adalah tanda rahmat Allah SWT juga. Ini kerana, saya ditempatkan bersama jemaah tabligh dan mereka bangun setiap malam untuk beribadat.
“Sebelum ini saya tidak pernah bangun malam untuk mendirikan solat. Alhamdulillah, tatkala di hospital saya buat semua itu. Sepanjang masa itu, Allah SWT beri saya pengajaran yang sangat besar,” katanya.
Beberapa hari kemudian, Mohammad Faizal berkata, ujian darah yang dibuat menunjukkan keputusan negatif sebelum dia dibenarkan pulang bagi menjalani kuarantin di rumah.
“Kebetulan saya tinggal seorang, jadi pihak hospital benarkan saya pulang untuk menjalani kuarantin. Saya ingin nasihatkan kepada orang awam supaya sentiasa mematuhi perintah pihak berkuasa kerana Covid-19 masih belum ada penawarnya.
“Saya berdoa pandemik ini segera berakhir. saya juga berterima kasih kepada semua petugas, khasnya kakitangan kesihatan, yang bertugas lebih 12 jam semata-mata untuk membantu orang lain,” katanya.