ADAKAH ketika ini alam sedang merencanakan pembalasan buat umat manusia yang terlalai dalam melaksanakan kewajipan mereka di muka bumi?
Semasa Covid-19 sedang menggila di seluruh dunia, soalan yang bermain di fikiran kini ialah – adakah ini tanda bahawa alam sedang mengatur pembalasan terhadap perbuatan umat manusia yang selama ini rakus merosakkan apa yang dianugerahkan kepada mereka – udara segar, air bersih, hidupan liar, hutan rimba dan sebagainya?
Persoalanan timbul sama ada pandemik Covid-19 ini adalah cara alam semula jadi membalas perbuatan manusia yang melampaui batas, tidak menghiraukan undang-undang yang digubal sendiri, mengotorkan udara, mencemar air, memusnahkan hutan dan membunuh hidupan liar sesuka hati.
Tidak dinafikan bencana berlaku dari semasa ke semasa – kemarau, banjir, gempa bumi dan sebagainya namun ia tidak berlaku serentak di seluruh dunia seperti yang sedang berlaku ketika ini yang memaksa seluruh penduduk dunia duduk di rumah, tidak berbuat apa-apa, hanya menunggu.
Adakah manusia sedang diberi pengajaran supaya sedar dan insaf – buat kali terakhir.
Di seluruh dunia, segala aktiviti terhenti – pelancongan, perniagaan, semuanya tidak bermaya, dan pengangguran berleluasa, harga minyak pula terus merudum dan entah apa lagi malapetaka yang sedang menanti manusia.
Rata-rata di seluruh dunia tidak banyak lagi deruman pesawat udara membelah awan membawa pelancong bercuti kecuali penerbangan yang membawa bantuan perubatan dan peralatan perlu serta kenderaan persendirian pula banyak ‘tersadai’ di rumah, tidak lagi bertali arus di jalan raya kecuali satu dua yang membawa barang-barang keperluan penting.
Kebanyakan bekerja dari rumah kecuali petugas di barisan hadapan yang merawat pesakit, di samping pihak berkuasa bertungkus-lumus berusaha bersungguh-sungguh memastikan orang ramai ‘duduk di rumah’ tanpa mengira waktu dan keadaan.
Covid-19 yang meletus di China Disember tahun lalu, sebelum mula melebarkan sayap kemusnahannya ke seluruh dunia, menjangkiti lebih 1.2 juta umat manusia dan meragut kira-kira 65,000 nyawa.
Mungkin sedikit sinar harapan yang dapat dihargai ketika ini adalah satu perempat daripada sejuta orang yang dijangkiti penyakit yang berasal dari kota Wuhan, China itu sudah sembuh.
Di China, lebih 81,000 orang sudah dijangkiti dan lebih 3,000 orang meninggal dunia.
Amerika Syarikat pula mencatatkan jumlah jangkitan yang tertinggi, menjangkau lebih 300,000 dan Itali mencatatkan jumlah kematian tertinggi, lebih 15,000.
Di Malaysia Covid-19 sudah menjangkiti lebih 3,000 orang, meragut 62 nyawa manakala lebih 1,000 sudah sembuh.
Berbalik kepada alam, mungkin apa yang kita lihat hari ini adalah kesan amarahnya kepada gejala pencemaran udara – dari kota sehingga ke desa, yang dikatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai ancaman kepada iklim dan kesihatan.
Namun, adakah orang ramai benar-benar ambil peduli hakikat pencemaran udara dianggar membunuh tujuh juta manusia di seluruh dunia setiap tahun? Sekiranya dia sendiri tidak terkesan dengan pencemaran itu, angka besar itu tidak membawa apa-apa makna kepadanya.
Di seluruh dunia manusia terus mencemar udara dengan asap kenderaan, asap kilang dan pembakaran terbuka.
Contoh paling dekat pembakaran hutan di sekitar rantau ini yang mengakibatkan beberapa negara Asean terkesan dengan masalah jerebu hampir setiap tahun.
Natural Resources Defence Council (NRDC), sebuah pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di Amerika Syarikat yang berusaha menjaga keselamatan bumi, penghuninya, hutan, haiwan dan sistem semula jadi berkata, ketika ini manusia sedang menenggelamkan ekosistem marin di dalam sampah, bunyi, minyak serta pelepasan karbon.
Menurutnya, impak kepada pencemaran laut sebegini memburukkan keadaan laut, pada kadar yang amat membimbangkan.
Kebanyakan sampah yang dihumban ke laut adalah berasaskan plastik, ramai yang tahu hakikat ini. Bukankah kita sudah lihat ada penyu yang mati akibat tidak dapat menghadam plastik yang dibuang ke laut yang membunuhnya?
Lihat sahaja bagaimana sukarnya ketika ini melihat penyu mendarat untuk bertelur di Terengganu, tidak seperti suatu ketika dahulu.
Pencemaran air pastinya mengembalikan ingatan semua kepada pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Johor pada Mac tahun lalu, berpunca daripada pembuangan sisa kimia, yang menjejaskan kesihatan 6,000 orang dan menghantar 2,775 ke wad hospital.
Tidak ketinggalan kemusnahan hutan, apabila ia diteroka bagi tujuan pertanian, pembalakan, pembinaan jalan dan sebagainya.
Menurut Bank Dunia, antara 1990 dan 2016, bumi sudah kehilangan hutan seluas 1.3 juta km persegi – yakni kawasan berukuran lebih luas daripada Afrika Selatan dan kajian pada tahun 2015 menunjukkan setakat ini 46 peratus pokok di hutan, telah ditebang oleh manusia.
Di Malaysia, pembalakan haram telah memberi kesan besar kepada penduduk orang asli yang mendapati tanah nenek moyang mereka semakin mengecil, dan pergerakan di hutan luas semakin terhad. Mereka ini amat bergantung kepada hutan untuk kehidupan.
Semasa pembangunan dan pembalakan berleluasa mengecilkan kawasan hutan secara global, ia turut memberi kesan kepada haiwan di hutan apabila habitatnya terganggu,
dan ia diburukkan lagi dengan masalah pemburu haram, sehingga ada spesis haiwan yang sudah hampir lenyap dari muka bumi ini.
Ada penyelidikan mendapati kira-kira 30,000 spesis haiwan liar setiap tahun – kira-kira tiga tiap sejam – menghampiri kepupusan, dan kira-kira
80 peratus kehilangan kepelbagaian biologi secara global disebabkan oleh kemusnahan habitat.
Kebanyakan masalah pemburu haram berlaku di Afrika disebabkan oleh pelbagai haiwan yang jarang-jarang ditemui, berada di negara itu terutama di negara seperti Zimbabwe dan Kenya. Afrika Selatan dilaporkan kehilangan lebih 1,000 badak sumbu setiap tahun antara tahun 2013 dan 2017.
Negara-negara lain juga tidak terkecuali daripada masalah pemburu haram.
Di Malaysia contohnya, harimau Malaya dan gajah pygmy dari Sabah kini dikhuatiri semakin pupus. Ketika ini hanya tinggal kira-kira 200 harimau Malaya yang dilindungi, masih berada di belantara, manakala hutan di Sabah kini dianggarkan didiami oleh kira-kira 1,500 sahaja gajah pygmy.
Masih terpahat dalam ingatan, kes gajah pygmy yang ditembak kejam, kira-kira 70 das tembakan, dan gadingnya dipotong oleh pemburu haram, dekat Tawau, Sabah, September tahun lepas. Bangkainya ditemui terapung di sebuah sungai, terikat kepada sebuah pokok di tebing.
Amat malang sekali, badak Sumatera pun pupus di Malaysia. Pemburu haram hanya berminat kepada tanduk atau gading haiwan ini semata-mata.
Adakah mereka tahu atau jika mereka tahu sekalipun, adakah mereka ambil peduli terhadap kesan pemburuan haram itu yang turut membawa risiko kepupusan kepada tumbuhan dan alam sekeliling?
Kebanyakan hutan bergantung kepada nutrisi dibawa oleh haiwan yang penting untuk hidup subur dan menghasilkan makanan mereka.
Semasa kita bimbang dengan kehilangan haiwan liar di seluruh dunia, satu hakikat menakutkan muncul – bahawa tenggiling adalah haiwan yang sering menjadi mangsa pemburu haram
di seluruh dunia.
Selasa lalu Jabatan Kastam Diraja Malaysia mematahkan cubaan menyeludup masuk kira-kira enam tan sisik tenggiling ke dalam negara, yang bernilai sekitar RM78 juta, disembunyikan dalam guni berisi kacang gajus di Pelabuhan Klang.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyekat pandemik Covid-19 sudah menghentikan sementara aktiviti industri selain pengangkutan udara, laut dan darat, sekali gus mengakibatkan pengurangan tahap pencemaran udara di seluruh dunia, sebagaimana yang dibuktikan menerusi imej satelit.
Mungkin hanya imaginasi, tapi rasanya kicauan burung pada waktu pagi ketika ini tidakkah ia terasa lebih lantang dan meriah sejak kebelakangan ini? Ia seolah-olah menampakkan mereka sedang gembira dengan ruang untuk menghirup udara segar yang terasa lebih luas ketika ini.
Penduduk di kota Jalandhar, India pula dapat merakam gambar dan video gunung Dhauladhar, sebahagian daripada banjaran Himalaya terletak kira-kira 200 kilometer (km) jauhnya, yang dapat mereka lihat buat pertama kali dalam 30 tahun sejak pencemaran udara semakin berkurangan.
Di Malaysia, Menteri Air dan Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PKP sejak 18 Mac lalu yang dijadualkan berakhir 14 April ini, membawa kepada pengurangan aktiviti seperti pelepasan asap kenderaan, asap cerobong industri dan pembakaran terbuka.
Beliau berkata satu analisis terperinci oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke atas beberapa parameter utama iaitu Nitrogen Dioksida (NO2 ), Sulfur Dioksida (SO2), Karbon Monoksida (CO) dan habuk halus bersaiz diameter 2.5 mikron (PM2.5) menunjukkan ia mencatatkan penurunan ketara.
Di Itali, misalnya, penurunan jumlah kehadiran pelancong dan kapal pelayaran dikatakan membawa kembali ikan lumba-lumba dan hidupan liar lain ke terusan Venice.
Ketika Covid-19 terus memenjarakan manusia di kediaman masing-masing, beberapa laporan mulai timbul mengenai kemunculan haiwan liar yang jarang ditemui sebelum ini untuk mengisi jalan yang lengang di bandar raya, seperti babi hutan di Barcelona, Spain; rusa di Nara, Jepun dan burung merak di Mumbai, India.
Seekor musang pula dilaporkan kelihatan di jalan yang lengang di Kozhikode, Kerala, di India, manakala kelibat seekor puma pula dilihat di tengah kota Santiago, Chile.
Covid-19, sehingga berita ini ditulis, adalah bencana yang kedua terburuk dalam sejarah dunia selepas influenza 1918 atau pandemik selesema Spanish dari segi jumlah kes dan kematian.
Selesema Spanish dilaporkan menjangkiti 500 juta orang, atau satu pertiga daripada jumlah populasi dunia ketika itu dan membunuh kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia.
Sebaik PKP dihentikan dan kehidupan kembali normal di seluruh dunia nanti, adakah umat manusia akan kembali dengan perangai lama mereka?
Adakah pembakaran terbuka akan berakhir? Adakah pemusnahan hutan akan berhenti? Adakah pemburu haram akan meletakkan senjata mereka? Adakah air di Sungai Kim Kim dan sungai sungai kembali jernih? Adakah manusia akan melaksanakan pembangunan lestari dengan lebih tegas?
Adakah manusia akan benar-benar insaf?
Seorang netizen memberikan komen yang menarik: “Alam baru sahaja menekan butang ‘set semula’ ke atas kita”.
Seorang lagi netizen merumuskan alam sedang menghantar pesanan bahawa udara, air, langit dan bumi berada dalam keadaan baik tanpa manusia.
Alam bagaikan berbisik: “Apabila anda kembali, ingatlah bahawa anda hanya pelawat, bukan ‘pemilik’ bumi ini.”