Padang: Demi meraikan detik manis bergraduasi menyebabkan seorang mahasiswa di Desa Pasia Laweh terpaksa mendaki bukit untuk mengikuti majlis itu secara dalam talian.
Ahmad Krismon, 22, graduan Perbankan Syariah dari Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Bukittinggi, Sumatera Barat terpaksa berbuat demikian kerana tiada liputan internet di rumahnya.
Beliau yang mesra disapa Momon berkata, ketiadaan internet menyebabkan dia terpaksa menaiki motosikal sejauh dua kilometer ke bukit berhampiran bagi mendapat liputan internet.
Menurutnya, sebaik tiba dia dan keluarga perlu mendaki 200 meter ke puncak bukit untuk mendapat liputan internet.
“Kampus menjalankan majlis graduasi secara maya kerana Covid-19 masih tinggi di Indonesia dan tidak memungkinkan ia diadakan seperti kebiasaan.
“Jadi saya yang lengkap memakai jubah graduasi meraikan detik itu secara maya bersama ibu bapa dan keluarga yang turut dibawa naik ke atas bukit,” katanya seperti dilaporkan portal berita Kompas.
Menurutnya, walaupun terpaksa bersusah payah mendaki bukit namun bergraduasi detik dinantikan mahasiswa selepas berhempas pulas melengkapkan pengajian.
Katanya, jika tidak disebabkan Covid-19, dia pasti membawa keluarganya ke majlis graduasi untuk meraikan detik bersejarah itu bersama.
“Saya berharap kemudahan internet di kampung ini dapat dipertingkatkan supaya masyarakat tidak perlu mendaki bukit untuk mendapatkan liputan.
“Jika masalah ini terus berlaku ia menyukarkan penduduk mendapat akses maklumat dengan dunia luar,” katanya.