Kuala Lumpur: “Dia (pemuda) nampak ikhlas dan itu yang membuatkan kami sekeluarga tersentuh.
“Saya kagum dengan keberaniannya tampil untuk memohon maaf walaupun masih serba salah dan trauma selepas apa yang berlaku,” kata Siti Nabyelah Mohamad Ithinin.
Siti Nabyelah, 30, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai hantarannya di Facebook mengenai keberanian seorang pemuda bertemu bapa saudaranya, Mohammad Sengaji, 60, yang tampil meminta maaf selepas melanggar isteri Mohammad minggu lalu.
Dalam kemalangan yang berlaku pada 24 September lalu di Labuan, isteri Mohammad, Rosnah Banggau meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan dipandu pemuda itu.
Menerusi hantaran di Facebook, Siti Nabyelah berkongsi gambar pemuda berkenaan mencium tangan bapa saudaranya dalam pertemuan itu.
Perkongsian itu mendapat perhatian selepas tular di laman sosial dengan rata-rata warganet memuji keberanian lelaki itu.
Bercerita lanjut, Siti Nabyelah berkata, pertemuan antara bapa saudara dan pemuda itu diadakan di rumah kakak iparnya, Nasha Farinin Nazri, 28 di Simpang Bunga Raya, Kampung Kilan Pulau Akar, Labuan pada 30 September lalu.
Katanya, ia diadakan hasil permintaan pemuda itu sendiri yang datang bersama adik perempuan dan majikannya serta persetujuan keluarganya.
“Pertemuan itu diatur kakak ipar saya selepas dihubungi pemuda berkenaan. Ikutkan, sudah lama pemuda itu mahu bertemu dengan bapa saudara saya dan kami sekeluarga tetapi masa tidak sesuai sehingga pada 30 September lalu.
“Dalam pertemuan selama sejam itu, pemuda berkenaan menceritakan semula apa yang berlaku ketika kejadian dan bersungguh memohon maaf dengan bapa saudara saya.
“Bukan hanya dia, malah kami sekeluarga turut menangis mendengar ceritanya yang memaklumkan tidak sengaja menyebabkan kematian itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Siti Nabyelah, riak wajah bapa saudaranya dalam pertemuan itu tampak tenang ketika menerima penjelasan dan tidak keberatan memaafkan pemuda berkenaan.
Katanya, sebelum beredar, pemuda berkenaan sempat memberikan sedekah kepada bapa saudaranya itu.
“Lagipun, bukan mudah untuk memohon maaf, terutama jika kita berada di tempatnya kerana pastinya perasaan takut, serba salah dan trauma bercampur baur kerana menyebabkan kematian seseorang walaupun tidak sengaja.
“Diharap, semua yang membaca kisah saya kongsi itu mencontohi keberaniannya jika melakukan kesilapan. Sebagai Muslim, lebih baik memaafkan daripada berdendam,” katanya.